assalamualaikum
Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir
Media yang mendapat sentuhan skrip daripada Basri Musa menampilkan
pelakon berbakat besar Johan As’ari sebagai Zarul bergandingan dengan
Yana Samsudin sebagai Salmi. Turut membintangi drama tersebut ialah Fizo
Omar (Heykal), Dato’ Rahim Razali (Pak Hassan), Fauziah Nawi (Mak
Munah), Iqram Dinzly (Zamri), Tania Hudson (Lisa), Nabila Dally (Anis),
Ika Nabila (Lydia) dan ramai lagi.
SURAT DARI LANGIT BIRU mengisahkan ikatan persaudaraan di antara
Zarul dan Salmi yang amat rapat umpama cubit peha kanan, peha kiri
terasa. Walaupun kehidupan mereka tidak dilimpahi dengan kemewahan harta
benda, namun kasih sayang yang dicurahkan adalah kunci kebahagiaan buat
mereka sekeluarga.
Kasih sayang Zarul terhadap kakaknya, Salmi melebihi segala-galanya.
Zarul sentiasa mempertahankan Salmi walau apa jua yang terjadi. Hubungan
mesra yang wujud di antara mereka kadangkala membuat Zarul dan Salmi
merasakan kasih sayang mereka melebihi sayang saudara kandung dan
masing-masing menyimpan rasa antara satu sama lain.
Sejurus keputusan SPM keluar, Salmi telah ditawarkan untuk
melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, tawaran itu terpaksa ditolak
kerana Salmi mengenangkan adiknya Zarul juga memerlukan wang yang
banyak untuk bersekolah. Zarul kemudiannya memujuk kakaknya supaya
meneruskan pelajaran demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang
doktor. Demi kasih sayang seorang adik terhadap kakaknya, Zarul sanggup
berkorban dengan meninggalkan kampung halaman untuk mencari pekerjaan di
bandar.
Ternyata tindakan Zarul mengecewakan ayahnya, Pak Hassan. Pak Hassan
yang merupakan seorang ayah yang sangat ego dan garang, tidak lagi
mengaku Zarul adalah anaknya. Sejak kejadian itu, Zarul tidak berani
pulang ke rumah. Dia akan bertemu dan mengirimkan wang belanja kepada
Salmi hanya di universiti.
Masa terus berlalu dan kini Salmi telah berjaya bergelar seorang
doktor. Lantas Pak Hassan ingin memenuhi hasrat Penghulu Kampung yang
ingin menyatukan anaknya, Heykal dengan Salmi. Meskipun Salmi membenci
Heykal seorang yang bongkak, namun dia terpaksa menerima pinangan itu
kerana mengenangkan hutang Pak Hassan dengan Penghulu semakin banyak.
Sementara itu, atas desakan Salmi dan ibunya, Mak Munah, Zarul pulang
ke rumah dan meminta maaf daripada Pak Hassan. Namun begitu, Pak Hassan
kurang senang dengan kepulangan Zarul. Tambahan pula hubungan Zarul dan
Salmi semakin mesra dan ini menimbulkan kemarahannya. Mengapa Pak
Hassan tidak menyukai Zarul mempunyai hubungan yang rapat dengan Salmi?
Apakah rahsia yang disimpan oleh Pak Hassan?
Kehidupan baru Salmi sebagai seorang isteri tidak seindah seperti
diharapkan. Salmi sering ditinggalkan dan dipukul oleh Heykal. Zarul
yang tinggal bersama Salmi mula menyedari rumahtangga kakaknya tidak
bahagia. Namun apakan daya, Zarul tidak mampu berbuat apa-apa kerana
sering diugut oleh abang iparnya. Hubungan rapat Salmi dan Zarul juga
tidak disukai oleh Heykal. Lantas Heykal merancang untuk menghalau Zarul
dari rumahnya dengan membawa adik perempuannya, Lisa tinggal bersama
mereka.
Bermula dengan insiden Zarul dituduh mencuri duit Heykal kemudian
dituduh menyimpan dadah cukup membuatkan Salmi terhasut dengan kata-kata
Heykal untuk membenci Zarul. Apa yang menambahkan lagi kekecewaan Salmi
terhadap adik kesayangan tatkala melihat Zarul sedang tidur dengan
Lisa. Akhirnya kesabaran Salmi sampai ke penghujungnya apabila mendapati
Zarul telah mengandungkan Lisa.
Meskipun Zarul difitnah dengan pelbagai tohmahan, namun tidak seorang
pun menyebelahinya. Hanya kata-kata penghinaan yang dilemparkan kepada
Zarul. Malah Zarul juga telah dibuang oleh darah dagingnya sendiri. Kini
Zarul tiada lagi tempat untuk pergi apatah lagi tempat mengadu. Lantas
dia pergi membawa diri dan terus menghilangkan diri. Apakah yang akan
berlaku seterusnya?
marinda-tv3/
No comments:
Post a Comment